LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS sudah mengambil keterangan tiga individu berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Subramaniar Swamy Batu Caves, di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis yang dibuat kedua-dua pihak pada 2.15 petang dan 2.30 petang hari ini.

“Keterangan daripada penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan orang awam sudah diambil.

“Kedua-dua pihak sudah membuat laporan berhubung kejadian petang tadi. Siasatan berhubung kekecohan berkenaan sedang dijalankan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Arifai berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sepasukan pegawai dan anggota JIM sedang menjalankan operasi bersepadu di gerai di perkarangan kuil berkenaan.

“Ketika anggota operasi cuba menangkap dan menahan seorang warga asing, tiba-tiba seorang lelaki warga tempatan mencetuskan provokasi terhadap anggota penguatkuasaan.

“Provokasi dilakukan secara lisan dan fizikal oleh kumpulan berkenaan menimbulkan kekecohan apabila mereka mula tugas menyebabkan operasi berkenaan gagal,” katanya.

Menurutnya, ketua operasi mengarahkan pasukan operasi keluar dari perkarangan kuil berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan atau menyebarkan sebarang berita yang tidak benar bagi menjamin keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun keseksaan,” katanya.

Hari ini tular satu rakaman video berdurasi 58 saat menunjukkan sekumpulan orang awam cuba membuat provokasi dengan kata-kata terhadap beberapa anggota penguatkuasa Imigresen tular di media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku di tapak perniagaan yang terletak di perkarangan Kuil Subramaniar Swamy Batu Caves ketika 50 anggota Jabatan Imigresen Selangor cuba membuat operasi ke atas peniaga haram dari India dan Pakistan.

Berita berkaitan

Tiada rusuhan ketika operasi imigresen [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:55 PM