EMPAT kapal dari China ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Labuan. - FOTO / JUWAN RIDUAN
EMPAT kapal dari China ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Labuan. - FOTO / JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan empat kapal dari China yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base di Labuan, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, APMM Labuan turut menahan dua lelaki warga China masing-masing berusia 55 tahun.

Pengarah APMM Zon Maritim Labuan Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kapal dari China itu dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Kesemua kapal berkenaan dikendalikan dan dijaga oleh dua lelaki warga China terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keempat-empat kapal ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.

Menurutnya, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Amaran kepada semua komuniti maritim bahawa APMM tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:19 PM
Digital NSTP Subscribe