KAPAL persiaran MS Westerdam di Sihanoukville, Kemboja. FOTO Getty Images
KAPAL persiaran MS Westerdam di Sihanoukville, Kemboja. FOTO Getty Images
Amir Abd Hamid


KERAJAAN melarang semua kapal persiaran yang berlepas atau transit dari China untuk memasuki negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas perjumpaan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diadakan pagi hari ini.

Beliau berkata, selain larangan itu, baki penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang kini berada di Kemboja juga tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Menurutnya, halangan membawa masuk penumpang kapal persiaran itu diambil selepas mengambil kira penumpang berkenaan adalah kontak rapat dengan kes pelancong wanita Amerika Syarikat (AS) yang disahkan positif wabak koronavirus 2019 (Covid-19) semalam.

Terdahulu, beliau berkata, seramai 145 penumpang kapal persiaran berkenaan tiba di negara ini, 7 petang kelmarin, dengan penerbangan sewa khas Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) ke pelbagai destinasi akhir mereka melalui transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, selepas mengesan satu kes positif Covid-19 yang membabitkan penumpang kapal persiaran berkenaan, aktiviti pengesanan kontak rapat sudah dilaksanakan serta merta.

“Enam penumpang yang masih menunggu penerbangan selanjutnya (ke destinasi akhir), akan menjalani ujian pengesanan Covid-19.

“Sekiranya ujian disahkan negatif, penumpang itu akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

“Namun, sekiranya didapati positif, penumpang itu akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan selanjutnya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi berhubung Penyakit Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan; Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Nadma; Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Wan Azizah berkata, baki 137 penumpang lain kapal persiaran itu yang tiba negara ini kelmarin sudah melepasi saringan Covid-19 dan dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir mereka.

Mengenai saringan Covid-19 terhadap penumpang kapal persiaran itu, Wan Azizah berkata, aktiviti berkenaan membabitkan komunikasi di peringkat Institut Kesihatan dan Pemulihan (IHR) Focal Point Malaysia dengan National IHR Focal Points negara masing-masing.

“Menerusi komunikasi berkenaan, maklumat ringkas mengenai setiap penumpang terbabit akan disalurkan kepada National IHR Focal Points masing-masing.

“Maklumat berkenaan akan digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan negara berkenaan untuk menjejaki penumpang itu sebaik sahaja mereka tiba di destinasi.

“Tidak terkecuali, komunikasi dengan National IHR Focal Point Kemboja turut dilaksanakan, yang secara tidak langsung membolehkan tindakan kawalan dan pencegahan yang berkesan dapat dilaksanakan di peringkat negara mereka iaitu destinasi yang mana kapal persiaran berkenaan berlabuh,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi penularan Covid-19 di negara ini dan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu melalui maklumat yang diperoleh daripada pelbagai yang terbabit.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenainya.

“Kementerian Kesihatan juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kapal persiaran MS Westerdam itu berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan perjalanan selama 14 hari bermula 1 Februari lalu.

Kapal persiaran berkenaan tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada Khamis lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 11:03 PM
    Digital NSTP Subscribe