SEBAHAGIAN penumpang kapal persiaran WS Westerdam di Sihanoukville, Kemboja. FOTO AFP
SEBAHAGIAN penumpang kapal persiaran WS Westerdam di Sihanoukville, Kemboja. FOTO AFP
Amir Abd Hamid


KEPUTUSAN ujian wabak koronavirus 2019 (Covid-19) terhadap baki enam penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, disahkan negatif virus itu.

Mengesahkan perkembangan terkini itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu enam penumpang berkenaan boleh menaiki penerbangan selanjutnya ke destinasi masing-masing.

“Melalui sidang media yang diadakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi, beliau memaklumkan mengenai baki enam penumpang berkenaan iaitu terdiri empat warga Amerika Syarikat (AS) dan dua warga Belanda.

“Semua mereka berada dalam keadaan sihat. Keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan pada 16 Februari (semalam) ke atas mereka baru sahaja diperoleh daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan mereka disahkan negatif untuk jangkitan itu,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sehubungan itu juga, katanya, pihak kedutaan yang berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan ujian itu.

Beliau berkata, mereka yang sudah diuji dan disahkan negatif virus Covid-19 itu dibenarkan untuk menaiki penerbangan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing yang selanjutnya.

Terdahulu dalam sidang media petang semalam, Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menjelaskan seramai 143 penumpang pesawat tempahan sewa khas dari Kemboja melepasi saringan dan tidak bergejala.

“Seramai 137 penumpang itu meneruskan perjalanan manakala baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Penerbangan sewa khas (MH8763) membawa 145 orang iaitu sebahagian penumpang kapal persiaran MS Westerdam.

Pesawat Malaysian Airlines ditempah sewa khas oleh Syarikat Kapal Persiaran Holland American Line itu mendarat di KLIA pada Jumaat lalu, 7 petang.

Semua 145 penumpang yang tiba menjalani saringan kesihatan dan dua daripada penumpang iaitu pasangan suami isteri warga AS dikesan bergejala.

Apabila dua kali ujian Covid-19 dibuat ke atas pasangan berkenaan, si isteri berusia 83 tahun dikesan positif manakala si suami berusia 85 tahun, negatif.

Kapal persiaran MS Westerdam membawa 2,257 orang terdiri 1,455 penumpang dan 802 kru berlabuh di Hong Kong selama sehari sebelum memulakan perjalanan selama 14 hari pada 1 Februari.

Ia seterusnya tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada 13 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 12:21 AM
    Digital NSTP Subscribe