DADAH dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
DADAH dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


LELAKI disyaki tokan dadah dicekup polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pitas Bombalai, di Tawau, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek berusia 29 tahun ditahan sepasukan anggota polis Bombalai dan Umas yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek yang menyedari kehadiran pihak polis kemudiannya bertindak melarikan diri namun ditangkap selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemukan 25 paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat 5.08 gram.

“Semua paket dadah itu disembunyikan di dalam beg sandang yang dipakai suspek. Ia dipercayai untuk dijual atau diedar di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki mengambil dan memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:54 AM
Digital NSTP Subscribe