GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

GELAP mata untuk membuat “duit segera” membuatkan Mat (bukan nama sebenar) sanggup menggadaikan kerjayanya sebagai anggota pasukan keselamatan untuk mengedar dadah.

Sewaktu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, dia melakukan perbuatan itu di kawasan utara tanah air, di sekitar pekan Danok

Menurut Mat, 30-an, episod hitam dalam hidupnya itu bermula pada 2007 ketika ditugaskan untuk mengawal sempadan di utara tanah air. Ketika itulah dia menemui cara untuk membuat “duit segera’” dengan menjual syabu yang mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Ketika melakukan rondaan di sempadan, dia mula berjinak-jinak dengan syabu ketika melakukan rondaan di sempadan kerana ia mudah diperolehi.

Kegiatan itu juga tidak perlu mengeluarkan wang untuk membelinya kerana ia dibekalkan oleh tokan dadah yang menyeludup barangan terlarang itu di kedua-dua negara.

Di Thailand, katanya, harga syabu boleh mencecah sehingga RM600 bagi satu gram.

Mat yang juga ketika itu mengambil dadah berkata, hampir tujuh tahun, dia menjual dadah secara kecil-kecilan di pusat hiburan di pekan Danok sebelum ditangkap Polis Diraja Thailand pada April, 2013.

Fasih berbahasa Siam, Mat berkata, dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun 12 bulan dan denda 200,000 baht (ketika itu kira-kira RM20,000) menurut undang-undang Thailand.

Namun, dia bersyukur kerana mendapat pengampunan diraja sehingga hukumannya dipendekkan kepada dua tahun enam bulan dua hari.

Ketika ditangkap dan dipenjarakan di Penjara Natthawi, wilayah Songkhla pada 2013, dia mempunyai seorang isteri yang berasal dari Chiang Mai yang dikahwini pada 2005 dan seorang anak perempuan yang ketika itu berusia lima tahun.

“Sepanjang tempoh 72 hari meringkuk di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan di mahkamah, saya rasa dunia saya begitu gelap. Banyak perkara yang saya fikirkan kerana pertama kali duduk dalam penjara,” katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Mat berkata, hidupnya mula berubah pada suatu hari Jumaat ketika sedang melakukan kerja menjahit pukat di dalam penjara.

“Saya terdengar bisikan yang menyuruh saya untuk solat Jumaat dan sejak itu, saya mula berhijrah untuk menjadi lebih baik. Alhamdulillah, Penjara Natthawi menyediakan sel khusus untuk orang Islam untuk melakukan ibadat tanpa gangguan.

“Selepas mendapat hidayah ketika berada dalam penjara, saya berpuasa selama lapan bulan bagi menggantikan puasa yang pernah ditinggalkan,” katanya.

Mat juga bersyukur sepanjang dipenjarakan, isteri dan ahli keluarganya dari Kelantan datang melawatnya beberapa kali walaupun tidak dapat bertemu anak perempuannya kerana dia sendiri yang tidak membenarkan isterinya membawa anaknya datang ke penjara.

“Sepanjang dipenjarakan juga, saya juga menerima kunjungan daripada pegawai tatatertib daripada pasukan yang menyerahkan surat tunjuk sebab serta surat pemberhentian kerja dan saya bersyukur kerana dalam rekod perkhidmatan, saya dibuang kerja kerana menghadapi 13 pertuduhan tidak datang kerja.

“Ia membolehkan saya mencari kerja sebagai pengawal keselamatan selepas dibebaskan pada November 2015 lalu,” katanya.

Ditanya sebab yang menyebabkan dia sanggup menyalahgunakan kuasa sehingga menjadi pengedar dadah walaupun bergelar anggota pasukan keselamatan, Mat berkata, ia berikutan hambatan nafsu yang mahu menampung gaya hidup mewah.

“Ketika menjalankan operasi, saya juga pernah melepaskan beberapa penyeludup dan meminta sejumlah wang bagi melepaskan mereka daripada ditahan kerana aktiviti rentas sempadan itu.

“Selain menghisap dadah, saya juga bermain judi sehingga menyebabkan wang gaji tidak mencukupi. Jadi untuk menampung kehidupan, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Dia turut menasihatkan masyarakat supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang gejala tidak sihat kerana ia hanya membawa keburukan kepada diri.

“Jadikan diri saya sebagai contoh. Sudah elok bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan dengan beberapa keistimewaan sebagai penjawat awam namun gara-gara tidak dapat menahan keinginan, hidup saya punah. Masa tak dapat diputarkan kembali dan saya hanya mampu reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 10:20 AM