FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN akan menjalankan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) untuk mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Dengan tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, Banci 2020 itu merangkumi sembilan juta kediaman dan membabitkan lebih kurang 33.8 juta orang.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, Banci 2020 adalah banci keenam dijalankan di negara ini yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali.

“Pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu 7 Julai 2020.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, watikah pelantikan disampaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 12 Februari 2020 dan gerak kerja awal Banci 2020 yang intensif dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia sejak tahun 2018 terutamanya berkaitan pemetaan dan penyenaraian tempat kediaman.

Katanya, banci kali ini akan menggunakan pendekatan de jure yang mana maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa mereka pada Hari Banci.

“Bagi memastikan bancian dijalankan secara menyeluruh dan lebih teratur, pembancian awal akan dilaksanakan bermula April 2020 yang membabitkan beberapa institusi yang dikenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:52 PM
Digital NSTP Subscribe