KEPTEN Muhammad Suffi (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam. FOTO ZAID SALIM
KEPTEN Muhammad Suffi (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam. FOTO ZAID SALIM


SEBANYAK 30 kilogram gamat dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini di kedudukan 57 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.

Bot tanpa nombor pendaftaran itu ditahan ketika sedang mencuri hidupan laut berkenaan menggunakan peralatan khas pada 9.59 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya turut menahan enam nelayan termasuk tekong berusia antara 25 hingga 48 tahun kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM300,000 membabitkan alat tangkapan, bot dan 30 kilogram gamat,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, berdasarkan hasil tangkapan gamat yang dianggarkan bernilai RM500 dan bekalan makanan yang masih banyak, pihaknya percaya bot terbabit berada di perairan negeri antara satu atau dua hari sebelum ditahan.

Beliau berkata, pada mulanya, nelayan terbabit cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya dihalang

bot APMM yang sedang melakukan rondaan Op Iman dan Op Naga Barat di kawasan berkenaan.

Menurunya, APMM mengambil masa hampir setengah jam mengejar bot berkenaan, sebelum berjaya ditahan.

“Tidak cukup dengan itu seorang daripada nelayan cuba menenggelamkan bot dengan menebuk lantai ketika dalam perjalanan ke jeti APMM di Pulau Kambing.

“Bagaimanapun, tindakan itu disedari anggota yang berada di atas bot berkenaan, dan perbuatan itu berjaya dihalang.

“Tindakan itu dilakukan bertujuan untuk melupuskan bukti,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, gamat mendapat permintaan tinggi di Vietnam menyebabkan ada nelayan negara itu sanggup menceroboh perairan semata-mata untuk mencuri hidupan laut berkenaan.

Katanya, gamat yang diproses untuk tujuan perubatan dan kosmetik dijual antara RM10 hingga RM18 sekilogram di negara berkenaan.

Beliau berkata, semua nelayan terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Denda yang diperuntukkan maksimum RM6 juta bagi pemilik bot dan tekong manakala awak-awak tidak melebihi RM600,000 atau penjara tidak lebih dua

tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli menunjukkan gamat yang dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam. FOTO Zaid Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 5:25 PM
Digital NSTP Subscribe