GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Fatihah Sulaini


TIGA beradik antara tujuh ahli kumpulan Geng Alif Buntal ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah dan curi motosikal di daerah Besut sejak awal Januari lalu.

Kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan melakukan aktiviti pecah rumah menaiki motosikal ke rumah mangsa sekitar 1.30 hingga 4.30 pagi dengan menyasarkan rumah mewah yang ditinggalkan kosong atau penghuni sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, berdasarkan hasil risikan dan maklumat orang awam, Ops Pintu Dan Lejang mula dilakukan sejak 9 Februari lalu dan tangkapan tujuh suspek itu dilakukan bermula dari 13 Februari hingga kelmarin.

“Kami berjaya menahan suspek berusia 23 tahun yang juga seorang daripada tiga beradik dalam kumpulan itu di sebuah chalet di Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan, 2.10 petang pada 13 Februari.

“Bersama suspek juga, kami merampas beberapa barang kes dan hasil siasatan awal mendapati suspek ini baru sahaja keluar dari penjara atas kesalahan pecah dalam bangunan dan dipercayai orang kuat dalam kumpulan ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Jertih, hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada maklumat tangkapan pertama membawa kepada tangkapan enam suspek berusia 16 hingga 25 tahun pada hari sama, selang satu jam pada 3.10 petang di Kampung Pachakan, Cherang Ruku.

“Berdasarkan siasatan, suspek yang pertama ditangkap dan ketua kumpulan berusia 17 tahun mengaku melakukan kegiatan pecah rumah sekitar Jertih, Kampung Raja dan Kuala Besut sejak Januari tahun ini.

“Manakala tangkapan ketiga hingga ketujuh tidak mengaku terbabit dengan aktiviti pecah rumah tetapi mengaku ada menerima wang dan barang curi untuk dijual.

“Sebanyak 57 barang kes bernilai RM70,000 termasuk wang tunai RM3,640 dirampas.

“Antara barangan dirampas seperti barang kemas, kamera, pelbagai jenis model telefon bimbit, laptop, beg dan tali pinggang berjenama mewah, pelbagai jam tangan mewah, sebuah motosikal dan rangka motosikal,” katanya.

Menurutnya, ahli kumpulan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan seperti penjual gas, mekanik motosikal dan nelayan.

“Saringan ujian air kencing beberapa suspek ditahan adalah positif dadah jenis methamphetamin.

“Semua suspek ditahan reman sejak Jumaat lalu, selama empat hari dan berakhir hari ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.

“Kejayaan menumpaskan kegiatan kumpulan ini berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes pecah rumah di daerah ini hasil pengecaman barang oleh mangsa yang terbabit dengan kes pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:42 PM