LAPORAN portal Harian Metro hari ini memaklumkan Jomei Extra Energy Candy mengandungi dadah.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini memaklumkan Jomei Extra Energy Candy mengandungi dadah.
BERNAMA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memeriksa lapan premis di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu untuk mengesan penjualan gula-gula ‘Jomei Extra Energy’ seperti tular di media sosial.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tujuh premis yang diperiksa di daerah Dungun, manakala satu lagi sebuah premis pemborong di daerah Kuala Terengganu.

“Berdasarkan tinjauan pihak kami, kedai runcit yang ditularkan di media sosial iaitu berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar adalah tidak wujud dan hanya menjumpai sebuah kedai kotak di jalan utama Kampung Balai Besar menghala ke Paka.

“Hasil pemeriksaan di kedai berkenaan tiada dijumpai gula-gula ‘Jomei Extra Energy Candy’.

“Namun, pemeriksaan ke atas beberapa premis kedai di sekitar Dungun mendapati beberapa kedai ada menjual gula-gula Jomei Extra Energy Candy,” katanya kepada Bernama hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai penjualan gula-gula itu yang didakwa sebagai ‘coklat dadah’ kerana terdapat kes pelajar yang dikatakan mengalami masalah kesihatan dengan simptom badan menjadi lemah, air liur meleleh, mata tidak boleh berkedip dan sentiasa terketar-ketar setelah makan gula-gula berkenaan.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, pemilik lapan premis terbabit dinasihatkan supaya tidak menjual produk itu kerana mungkin boleh memudaratkan kesihatan sebagaimana yang ditularkan di media sosial.

Saharuddin berkata, tiada peruntukan undang-undang di bawah KPDNHEP yang boleh diambil terhadap isu yang tular itu.

“Aduan sudah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerana ia di bawah bidang kuasa KKM.

“JKNT memaklumkan aduan berkenaan sudah diterima dan pemantauan sudah dibuat sejak tiga minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:49 PM
Digital NSTP Subscribe