KEADAAN Perodua Myvi (kiri) dinaiki mangsa yang bertembung dengan kereta Proton Saga dalam kemalangan di Kilometer 85 Jalan Kota Tinggi-Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
KEADAAN Perodua Myvi (kiri) dinaiki mangsa yang bertembung dengan kereta Proton Saga dalam kemalangan di Kilometer 85 Jalan Kota Tinggi-Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


SEORANG lelaki warga emas maut selepas enam jam dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang akibat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 85 Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Rahmat Abu Bakar, 70, disahkan meninggal dunia pada 4.37 petang oleh warisnya.

Katanya, sebelum itu, mangsa bersama anak lelakinya yang berusia 31 tahun dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Sri Lambak ke bandar Kluang dengan menaiki kereta Perodua Myvi sebelum terbabit dalam kemalangan itu pada 10.30 pagi.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta yang dipandu anak lelakinya itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an tiba bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa,” katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, akibat pertembungan itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan di kedua-dua belah kaki manakala anaknya cedera di kaki, leher dan dada.

“Lelaki warga Indonesia itu pula patah kaki kanan sebelum ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans yang datang sejurus selepas kejadian berlaku.

“Bagaimanapun, pada 4.37 petang tadi, waris datang memaklumkan kepada kami bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 11:29 PM
Digital NSTP Subscribe