ANGGOTA bomba menggunakan kayak untuk mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Puchong berhampiran Taman Angkasa. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menggunakan kayak untuk mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Puchong berhampiran Taman Angkasa. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

SEORANG juruukur sungai dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, ketika bertugas menyukat keluasan Sungai Puchong berhampiran Taman Angkasa di Puchong, pagi hari ini.

Dalam kejadian 11.28 pagi, enjin bot yang dinaiki Ahmad Firdaus Muhammad, 24, dari Jeli, Kelantan dilaporkan rosak, menyebabkan mangsa bersama seorang lagi rakan setugasnya bertindak terjun daripada bot berkenaan, untuk menundanya ke tebing sungai.

Menurut kakak mangsa, Nor Asma Muhammad, 37, rakan adiknya itu berjaya berenang ke tebing sungai, bagaimanapun adiknya gagal berbuat demikian selepas dihanyutkan arus deras.

“Saya dimaklumkan ketika kejadian, Aus (Firdaus) berjaya berdiri di atas sebuah batu di tengah sungai itu, tetapi dia kemudian dihanyutkan arus deras, selepas terjun sekali lagi untuk berenang ke tebing sungai,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian, petang hari ini.

Mangsa dilaporkan baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang penerbangan di Universiti Kuala Lumpur dan majlis graduasinya dijangka akan berlangsung pada Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil Jalaluddin Abd Mubin berkata, seramai 20 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil serta Sri Petaling bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

“Unit anjing pengesan turut digunakan untuk mengesan mangsa, selain kayak untuk operasi mencari sepanjang Sungai Puchong menghala ke Puchong yang mempunyai ke dalaman tiga meter itu,” katanya.

Katanya, keluasan kawasan pencarian setakat ini sejauh 500 meter dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh dan operasi akan diteruskan bergantung pada keadaan sungai dan cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 11:54 PM
Digital NSTP Subscribe