ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa rentung.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa rentung.
HM Digital

“SAYA rasa sedih kerana gagal menyelamatkan ibu, ditambah pula keadaannya sudah uzur dan pergerakan juga terbatas.”

Begitu kata anak lelaki kepada Siti Aishah Saad, 85, yang ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat, Kangar, semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari, mayat mangsa ditemui di ruang tamu dipercayai akibat gagal keluar berikutan pintu jeriji rumah berkunci.

Lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian dia keluar dari rumahnya yang terletak bersebelahan rumah ibunya untuk pergi ke kedai.

“Ibu tinggal bersama kakak serta abang ipar dan ketika itu abang ipar keluar ke tempat kerja manakala kakak ke kedai.

“Saya yang ketika itu baru sampai ke rumah mendapati ibu terperangkap dan api marak begitu cepat sehingga gagal menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.29 tengah hari sebelum seramai 20 anggota dan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar, BBP Simpang Ampat dan BBP Kuala Perlis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan dua rumah musnah, manakala dua kereta dan sebuah motosikal turut hangus.

“Mayat mangsa ditemui telentang di ruang tamu rumah selepas gagal keluar ketika kebakaran berlaku.

“Ketika kejadian mangsa yang uzur dipercayai tinggal bersendirian kerana anak perempuan dan menantunya tiada di rumah,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:01 AM