PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan memijak dan menghina al-Quran yang disiarkan secara langsung di Facebook, 13 Februari lalu.

Mohd Zulkifli Ali, 33 mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Nurasidah bagaimanapun mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai selepas membenarkan permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah.

Perintah itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli.

Mohd Zulkifli didakwa atas dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi dan masa sama iaitu di bilik sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya, pada 8.40 pagi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mencemarkan al-Quran yang suci bagi umat Islam dengan memijak niat menghina Islam.

Mohd Zulkifli (tengah) diarah mendapatkan pemeriksaan mental di Hospital Permai oleh Mahkamah. FOTO Omar Ahmad
Mohd Zulkifli (tengah) diarah mendapatkan pemeriksaan mental di Hospital Permai oleh Mahkamah. FOTO Omar Ahmad

Perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zulkifli didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Islam yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan iaitu melukakan perasaan keagamaannya dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dalam tempoh boleh sampai setahun dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen kesihatan mental tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tiba di Perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 9.30 pagi.

Khamis lalu, tertuduh melakukan perbuatan memijak al-Quran dan menghina Islam yang dibuat secara langsung di Facebook sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pada Ahad, tertuduh direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Suspek pijak al-Quran direman 3 hari

Lelaki pijak al-Quran ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 1:45 PM