PENUTUP mulut dan hidung yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
PENUTUP mulut dan hidung yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


PEMILIK klinik swasta di Kuala Lipis, dekat Jerantut, dikompaun RM10,000 kerana menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga ditetapkan.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut Mubin Ahmad berkata, ia adalah kes pertama di negeri itu.

Beliau berkata, sepasukan empat anggota dan seorang pegawai membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada 15 Februari lalu selepas mendapat aduan awam.

“Klinik berkenaan didapati menjual penutup mulut dan hidung tiga lapisan dengan harga RM1 seunit melebihi harga yang dikawal iaitu 0.80 sen.

“Berikutan itu, pemiliknya berusia 56 tahun melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebanyak 300 penutup mulut dan hidung turut disita” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Jerantut, hari ini.

Mubin berkata, pemilik premis menjelaskan kompaun berkenaan.

“Sekiranya gagal dijelaskan dalam tempoh 14 hari, penalti sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, KPDNHEP Jerantut sudah memeriksa 64 premis berkaitan penjualan penutup mulut dan hidung di Jerantut dan Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 2:53 PM