AJK Guru dan AJK PIBG SK Bakong menunjukkan hasil cendawan jeli hitam atau lebih dikenali sebagai ‘cendawan telinga kera’ yang mengandungi pelbagai khasiat yang telah dituai. FOTO Zaman Huri Isa
AJK Guru dan AJK PIBG SK Bakong menunjukkan hasil cendawan jeli hitam atau lebih dikenali sebagai ‘cendawan telinga kera’ yang mengandungi pelbagai khasiat yang telah dituai. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi


PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong di Bachok mengambil inisiatif mengusahakan projek tanaman cendawan bagi menampung perbelanjaan aktiviti dan prasarana sekolah sejak dua tahun lalu.

Ketua Projek Tanaman Cendawan SK Bakong Haslina Ya berkata, projek pertama tanaman cendawan itu bermula pada pertengahan 2018 apabila menanam 5,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang diletakkan di dalam bangsal di kawasan sekolah seluas 74 meter persegi.

Menurutnya, dalam tempoh lebih setahun mengusahakan projek tanaman itu, pihak sekolah mampu menjana keuntungan bersih sehingga RM15,000 yang sedikit-sebanyak memudahkan pengurusan sekolah menjalankan aktiviti.

“Melihat kejayaan itu, kami sekali lagi bekerjasama mengusahakan tanaman cendawan jeli hitam atau lebih dikenali sebagai ‘cendawan telinga kera’ yang mengandungi pelbagai khasiat pada awal Januari lalu.

“Sebanyak 300 bongkah cendawan jeli hitam ditanam dan hasilnya boleh diambil selepas tempoh 60 hari.

“Bagi tuaian pertama, kami sudah mendapat permintaan daripada pemborong di Pasar Jelawat yang dijual dengan harga RM30 sekilogram,” katanya ketika ditemui di bangsal tanaman cendawan di SK Bakong hari ini.

Haslina berkata, cendawan jeli hitam ini jarang ditanam memandangkan sebelum ini hanya mendapat permintaan daripada kaum Cina sahaja tetapi kini masyarakat sudah menyedari khasiat tanaman itu termasuklah mencegah penyakit buasir, mengurangkan berat badan, mengurangkan kolestrol dan menegangkan kulit.

CENDAWAN jeli hitam atau lebih dikenali sebagai ‘cendawan telinga kera’. FOTO Zaman Huri Isa
CENDAWAN jeli hitam atau lebih dikenali sebagai ‘cendawan telinga kera’. FOTO Zaman Huri Isa

“Di pasar raya ada juga menjual cendawan jeli hitam, namun ia diimport dari Thailand dan projek tanaman cendawan yang diusahakan ini adalah satu-satunya produk tempatan.

“Keistimewaan cendawan ini ialah ia lebih tahan lama sehingga dua tahun, ia hanya perlu dikeringkan dan disimpan di dalam peti dan apabila mahu menggunakannya, perlulah direndam di dalam air terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan cendawan jeli hitam berada dalam keadaan baik dan tidak rosak, ibu bapa dan guru di sekolah sama-sama menjaga tanaman berkenaan dengan memantau suhu serta kelembapan di dalam bangsal selain menyiram tiga atau empat kali sehari.

“Projek yang diusahakan ini juga, menarik minat guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat 2 untuk menanam cendawan yang akan diusahakan oleh pelajar pendidikan khas di sekolah berkenaan.

“Dalam jangka masa terdekat ini, saya akan membekalkan 500 bongkah cendawan kepada sekolah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 3:20 PM