X
MOHD (dua kanan) berdoa di pusara arwah abangnya, Mahad di Tanah Perkuburan Islam Kelulut, Marang.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD (dua kanan) berdoa di pusara arwah abangnya, Mahad di Tanah Perkuburan Islam Kelulut, Marang.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA berasa puas dan bersyukur kerana dapat berkhidmat untuk abang hingga ke saat akhir,” kata Mohd Mat Min, 62.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah pengorbanan Mohd yang menjaga abangnya, Mahad Mat Min, 63, selepas terbabit kemalangan pada 12 Ogos tahun lalu.

Walaupun dihimpit kemiskinan, pengorbanan Mohd menjaga Mahad itu mendapat pujian warganet serta menerima banyak sumbangan orang ramai.

Mohd berkata, arwah abangnya itu meninggal pada 6.14 petang kelmarin di pangkuannya.

“Arwah sudah tidak berselera makan empat hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan mengalami sesak nafas sebelum dia peergi buat selama-lamanya.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia menyebabkan hati saya berasa tenang dan lega,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kelulut di Marang hari ini.

Menurutnya, banyak kenangan pahit manis yang dilaluinya sepanjang menjaga abangnya itu.

“Lebih enam bulan saya menjaga dan menguruskan abang yang uzur itu. Walaupun sukar untuk menguruskan abang yang tidak mampu berjalan itu seorang diri tetapi ia memberi kepuasan kepada saya.

“Saya juga bersyukur kerana selepas kisah saya menjaga abang dilaporkan Harian Metro, ramai orang yang menghulurkan sumbangan,” katanya.

Menurutnya, dia pasti akan merindui kenangan menjaga abangnya itu.

Berita berkaitan

Kasih adik kepada abang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 3:40 PM