SHANMUGAMOORTHY menunjukkan wang tunai dan barang kemas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ipoh milik sepasang suami isteri yang hidup mewah hasil mengedar dadah.
SHANMUGAMOORTHY menunjukkan wang tunai dan barang kemas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ipoh milik sepasang suami isteri yang hidup mewah hasil mengedar dadah.
Nor Azizah Mokhtar


KEHIDUPAN mewah sepasang suami isteri yang mampu memiliki wang tunai dan barang kemas bernilai lebih setengah juta ringgit hanya dalam tempoh enam bulan hasil mengedar dadah berakhir apabila pasangan itu dicekup polis, Rabu lalu.

Kegiatan pasangan itu terbongkar apabila sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menahan seorang lelaki di Batu 4 Jalan Ipoh di Kuala Lumpur, jam 8 pagi dengan rampasan methamphetamine seberat 250 gram serta wang tunai berjumlah RM8,000.

Susulan penahanan itu, serbuan kedua dilakukan di kondominium di Taman Mastiara, Batu 5 Jalan Ipoh di Kuala Lumpur, pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita yang juga isteri kepada suspek utama selain menemui dadah disyaki jenis ketamin seberat 1.13 gram dalam bilik tidur di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita kemudian menemui sejumlah barang kemas pelbagai jenis terdiri daripada 23 bentuk cincin, rantai dan rantai leher (21), loket (8), gelang tangan (7), subang (6) dan rantai tangan (4).

“Kesemua barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM213,000 itu ditemui disimpan dalam sebuah peti besi bersama sejumlah wang tunai,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya lagi, sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan dadah turut ditemui disorok di ruang siling kondominium terbabit.

“Kesemua wang tunai terbabit berjumlah RM323,219. Menerusi serbuan itu juga kita merampas empat kenderaan milik suspek terdiri daripada dua kereta dan dua motosikal dianggarkan bernilai RM54,500.

“Kesemua wang tunai, barang kemas dan kenderaan itu dirampas dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya Bahagian Perlucuthakan Harta 1988 Akta 340,” katanya.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine namun isterinya negatif.

“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 33 dan 32 tahun kini direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

“Hasil siasatan mendapati suspek aktif mengedar dadah jenis methamphetamine di sekitar Sentul dan Lembah Klang sejak enam bulan lalu. Buat masa ini kita sedang mengesan rangkaian dan punca daripada mana bekalan dadah terbabit diperolehi,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM615,689 termasuk dadah bernilai RM10,170.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 5:28 PM
Digital NSTP Subscribe