PENGUAT kuasa MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk udang dan ikan tanpa permit eksport ke Singapura. FOTO Ihsan MAQIS Johor
PENGUAT kuasa MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk udang dan ikan tanpa permit eksport ke Singapura. FOTO Ihsan MAQIS Johor


NIAT penyeludup mengaburi mata penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) gagal apabila cubaan menyeludup udang dan ikan kerapu tanpa permit eksport ke Singapura berjaya dikesan.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi itu, penguat kuasa MAQIS berjaya mengesan sebuah lori yang cuba menyeludup udang dan ikan kerapu itu di laluan lori eksport, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya mendapati lori itu menyorokkan 67.3 kilogram udang dan 12 kilogram ikan kerapu dalam timbunan ikan lain pada muatan kenderaan terbabit.

Katanya, berat keseluruhan udang, ikan kerapu itu serta timbunan ikan lain itu sebanyak 79.3 kilogram yang bernilai RM4,614.

“Kesemua dagangan itu ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama jika sabit kesalahan.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 5:30 PM
Digital NSTP Subscribe