OPERASI mencari dan menyelamat seorang lagi remaja yang masih hilang di Sungai Trusan. FOTO IHSAN BOMBA
OPERASI mencari dan menyelamat seorang lagi remaja yang masih hilang di Sungai Trusan. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Roji Kawi


HASRAT murni seorang remaja untuk menyelamatkan rakannya yang terkapai-kapai ketika mandi di Sungai Trusan di sini, bertukar tragedi apabila dia turut lemas, hari ini.

Sumber berkata, dalam kejadian di Kampung Tengah, Trusan kira-kira jam 3 petang itu, Abang Bukhari Malikhan, 16, yang mandi di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya, tiba-tiba mengalami masalah.

Melihat keadaannya yang terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong, rakannya Ahmad Shukri Rosli, 16, cuba membantunya.

Bagaimanapun, sebaik menghampiri Abang Bukhari, Ahmad Shukri turut mengalami masalah dan kedua-duanya tenggelam ke dasar sungai.

Beberapa rakan lain yang melihat kejadian itu segera memaklumkannya kepada keluarga mereka sebelum panggilan kecemasan dibuat bagi meminta bantuan mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, gerakan SAR dilancarkan sebaik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas menerima panggilan pada jam 3.14 petang.

Katanya 10 anggota dari BBP Lawas bergegas ke lokasi dan menjalankan pencarian di permukaan selain menyelam di dasar sungai.

“Pada jam 5 petang, anggota penyelam bomba berjaya menemui jasad Ahmad Shukri di dasar sungai itu.

“Manakala jasad Abang Bukhari ditemukan pada jam 6.22 petang beberapa meter dari mangsa pertama,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Katanya lagi, berdasarkan keterangan bapa salah seorang remaja terbabit, kedua-dua mangsa tidak pandai berenang.

Operasi yang turut dibantu tujuh anggota dari Balai Polis Lawas, empat kakitangan Pejabat Saerah Lawas serta lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Punang Jaya itu dihentikan pada jam 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 8:27 PM
Digital NSTP Subscribe