“SAYA memang rasa tidak sedap hati sejak lima hari lalu, malah semua kerja yang saya lakukan terasa tidak kena”.

Itu luahan anak bongsu kepada Pengasas syarikat pengeluar kicap, Jalen Sdn Bhd, Allahyarham Datuk Ab Jalil Long, 82.

Mohd Zafri, 30an, berkata, Allahyarham bapanya dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri sejak pagi Khamis lalu akibat sesak nafas.

Katanya, Allahyarham disahkan meninggal 3.55 petang tadi akibat sesak nafas, komplikasi buah pinggang dan jantung serta jangkitan kuman pada usus.

“Ayah dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis lalu selepas mengadu sesak nafas.

“Selepas subuh tadi, sebenarnya ayah tenang seperti biasa tetapi selepas Zohor, ayah mulai tenat dan nazak.

“Saya antara anak yang rapat dengan ayah. Walaupun sedih namun kami reda dengan pemergiannya,” katanya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik ketika dihubungi.

Jam 3.55 petang tadi, Ab Jalil disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Puteri di sini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kicap Jalen, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kebun Teh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 9:05 PM
Digital NSTP Subscribe