X
Amir Abd Hamid


BARU habis tempoh pantang bersalin, terpaksa pula jalani kuarantin dua minggu bagi pencegahan penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).

Itu dialami seorang wanita hanya mahu dikenali Wu, 29, yang mengendong anak lelakinya berusia dua bulan ketika dikuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), Nilai.

Bagaimanapun, Wu yang juga seorang daripada 102 rakyat Malaysia dikuarantin di Akept lega apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Baki lapan lagi rakyat Malaysia yang sudah selesai menjalani kuarantin di akademi itu akan dibenarkan pulang esok.

Mereka adalah 113 individu termasuk enam pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu ekoran penularan wabak koronavirus.

Ketika ditemui wartawan Harian Metro, Wu memuji kakitangan perubatan yang ditugaskan di Akept mengendalikan setiap individu dikuarantin di situ.

“Kakitangan (perubatan) di Akept yang membantu semua sangat hebat.

“Saya bersendirian bawa bayi sebab suami saya orang Wuhan (China) tak dapat dibawa bersama ke Malaysia sebab masalah dokumentasi.

“Saya cuma minta bekas mandian bayi tetapi mereka berikan lebih daripada itu, malah mereka (kakitangan perubatan) belikan baju baharu untuk bayi saya,” katanya ketika ditemui di pusat pemantauan (HSC) di Akept, hari ini.

LELAKI warga Malaysia ceria dibenarkan pulang hari ini selepas dikuarantin selama dua minggu. FOTO NSTP
LELAKI warga Malaysia ceria dibenarkan pulang hari ini selepas dikuarantin selama dua minggu. FOTO NSTP

Menurutnya, setiap hari kakitangan perubatan yang menjaga pusat pemantauan itu datang bertanya apa diperlukannya.

“Saya mulanya menyangkakan kuarantin akan menjadi satu mimpi ngeri, namun sebaliknya berlaku sebab layanan di Akept sangat baik.

“Bayi saya baru berusia dua bulan, jadi pada mulanya dalam fikiran ini satu mimpi ngeri untuk saya,” katanya.

Ditanya rutin harian sepanjang dikuarantin sejak 4 Februari lalu, Wu berkata, dia jarang keluar bilik sebab mahu memberi sepenuh perhatian kepada bayinya.

Menurutnya, dia melihat dari bilik setiap pagi, ada antara individu dikuarantin bersenam.

“Pada waktu malam pula, kami bermesra dan bersembang.

“Semua sangat mudah mesra dan membantu... enjoy (seronok) tinggal di sini.

“Saya rasa layanan Malaysia kepada yang kena kuarantin Covid-19 ini adalah terbaik berbanding negara lain,” katanya.

WU mendukung bayi lelakinya berusia dua bulan ketika ditemui di Akept. FOTO NSTP
WU mendukung bayi lelakinya berusia dua bulan ketika ditemui di Akept. FOTO NSTP

Bercerita lanjut, ketika di Wuhan, menurut Wu, pegawai Kedutaan Malaysia yang membantu juga sangat baik.

Katanya, waktu itu dia bimbang sekiranya bayinya yang juga kelahiran Hong Kong tidak dapat dibawa balik ke tanah air.

“Saya tak sangka kerajaan Malaysia bantu juga sebab suami dan anak saya bukan orang Malaysia.

“Jadi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan China atas kerjasama bawa saya serta anak balik Malaysia.

“Saya masih berhubung dengan suami setiap hari, ia mudah kerana kemudahan WiFi (modem internet tanpa wayar) juga disediakan di Akept,” katanya.

SEBAHAGIAN daripada 102 individu dikuarantin yang dibenarkan pulang hari ini. FOTO NSTP
SEBAHAGIAN daripada 102 individu dikuarantin yang dibenarkan pulang hari ini. FOTO NSTP

Mengenai situasi terkini di Wuhan, Wu berkata, suaminya memberitahu di Wuhan sekarang pergi ke pasar juga dilarang.

Sebaliknya, kata Wu, penduduk hanya boleh buat pesanan dalam talian sebelum barang keperluan akan dihantar ke rumah masing-masing.

“Saya tak rasa mereka boleh pergi kerja sebab perkhidmatan tren dan pengangkutan awam juga digantung hingga akhir Mac ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 9:14 PM