NOOR HISHAM ABDULLAH
NOOR HISHAM ABDULLAH
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 434,742 paket produk Energy Candy mengandungi racun berjadual ‘tadalafil’ bernilai RM131,340.70 dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam operasi itu, 160 premis pemborong, pengedar dan peruncit diperiksa bagi memastikan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy tidak dijual di pasaran.

“Arahan larangan penjualan juga dikeluarkan kepada peniaga atas talian di semua platform e-dagang. KKM ingin menegaskan sekali lagi kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Beliau menasihatkan pengguna yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Semalam, Dr Noor Hisham dalam kenyataan mengesahkan produk Energy Candy mengandungi bahan terlarang iaitu racun berjadual ‘tadalafil’ ubat terkawal yang digunakan bagi merawat pesakit mengalami masalah erectile dysfunction (mati pucuk) dan ia hanya boleh diberi kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Katanya, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya selain kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Sehubungan itu, beliau berkata larangan pengimportan produk itu sudah dikeluarkan serta-merta oleh KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 9:43 PM
Digital NSTP Subscribe