X
MOHD JOHARI ISMAIL
MOHD JOHARI ISMAIL
HM Digital

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) tempatan yang melakukan kutipan sumbangan menyerahkan dana secara terus kepada rakyat Palestin melalui wakil yang dilantik mereka sekali gus menafikan dakwaan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang mendakwa dana berkenaan diseleweng.

Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail berkata, kebanyakan NGO tidak melalui kerajaan untuk menyerahkan sumbangan.

“NGO Malaysia tidak melalui kedutaan kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tidak mesra dengan kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Media dan Korporat Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, bantuan daripada pihaknya disalurkan terus menerusi wakil mereka di Palestin.

“Aman Palestin memberi tumpuan membantu dalam aspek kebajikan untuk rakyat Palestin seperti ubat-ubatan, makanan, pakaian dan tajaan rawatan hospital (pembedahan).

“Sumbangan Aman Palestin tidak melalui kerajaan tetapi disalurkan terus kepada rakyat Palestin dengan seliaan wakil kami di sana,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia tunggal yang menetap di Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman yang juga pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) menyifatkan dakwaan bahawa sumbangan tidak sampai adalah tidak tepat kerana NGO Malaysia banyak memberi tumpuan kepada rakyat Palestin terutama di Gaza.

“Gaza berjaya menampilkan isu Palestin yang mana peranan itu diambil Hamas. Setakat yang saya pernah bekerjasama dengan NGO Malaysia, kebanyakannya melancarkan kutipan dana dan program untuk Gaza manakala sebahagian kecil disalurkan ke Baitulmaqdis,” katanya.

Katanya, kerajaan PLO perlu bekerjasama dengan NGO Malaysia bagi menyelesaikan isu berbangkit di Masjid al-Aqsa bagi memastikan dana disalurkan ke sana.

“Pihak kedutaan perlu mengumpulkan NGO dan memberi kefahaman tentang isu di al-Quds termasuk wakaf, isu rumah penduduk terpaksa bayar cukai tinggi hingga 60,000 shakel setahun,” katanya.

Mengulas perkembangan sama, Pengerusi MyCare Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, banyak dana rakyat Malaysia disalurkan ke Gaza berbanding di Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe