GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni

PENAHANAN tiga tokan dadah di restoran di SEDC Woodhouse dekat Taman BDC, Kuching, Selasa lalu, membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM394,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, kesemua lelaki berusia 21, 24 dan 31 tahun itu ditahan di premis berkenaan pada 4.50 petang.

Katanya, hasil tangkapan itu, pasukan JSJN Sarawak merampas sembilan paket serbuk ekstasi bernilai RM3,150; 330 biji pil Erimin 5 bernilai RM16,500; 151 papan pil Erimin 5 bernilai RM3,020; 100 gram syabu bernilai RM15,000; 1,328 gram ketamin bernilai RM199,200 dan 1,050 gram serbuk ekstasi bernilai RM157,500.

“Turut disita wang tunai berjumlah RM5,600 dan peralatan untuk membungkus dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hasnir, rampasan dibuat daripada kereta suspek di lokasi mereka ditahan dan di rumah di Bandar Baru Batu Kawa.

Katanya semua penganggur itu yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu juga didapati positif dadah jenis syabu dan ketamin.

“Perintah tahanan reman diluluskan selama tujuh hari ke atas semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

Hasnir turut menyampaikan penghargaan ke atas keprihatinan masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:37 AM
Digital NSTP Subscribe