X
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya yang juga warga tempatan.

Tertuduh, Junianto, 29, yang bekerja sebagai buruh ladang sawit mengangguk faham ketika pertuduhan di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, di sebuah rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Beril, Paka, di sini, pada 2.45 pagi, 12 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga warga asing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang buruh ladang sawit maut selepas ditetak rakan dikenalinya dalam kejadian di ladang sawit Kampung Beril, Paka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:50 AM
JUNIANTO dibawa ke mahkamah. FOTO ROSLI ILHAM
JUNIANTO dibawa ke mahkamah. FOTO ROSLI ILHAM
Kabinet Malaysia 2020