Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PEMANDU treler didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas empat pertuduhan memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap Y Vethri Vel, 26, untuk keempat-empat pertuduhan memandangkan terduduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu treler bernombor pendaftaran WUA 5761 dan T/BD6993 secara melulu hingga mengakibatkan kematian yang boleh didakwa mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun selain denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 untuk setiap pertuduhan.

TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Sungai Siput. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Sungai Siput. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Jean Siow memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhanterhadap tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norlida Ishak.

Norlida bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang masih menyara ibu bapa selain tiga adik termasuk seorang yang bersekolah.

Norhabsarina kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan kehadiran seorang jurubahasa.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, empat sekeluarga termasuk seorang bayi maut manakala seorang parah sejurus kereta dinaiki mereka bertembung treler yang dipandu tertuduh di kilometer (km) 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Nahas 10.20 malam itu menyebabkan lans korperal polis, Mohamad Faiz Bakhri, 28, serta isterinya, Nik Idayu Nik Hasan, 30, dan anak bongsu pasangan itu, Mohammad Faqih Irshad, 2.

Turut maut adalah Nik Ifieka Nik Hasan, 27, yang berupakan adik kepada Nik Idayu.

Berita berkaitan:

  • Bersemadilah dengan aman [METROTV]
  • Pemandu treler direman empat hari
  • Empat maut, bukan lima [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:49 PM
    Digital NSTP Subscribe