PEGAWAI penguatkuasa Maqis Johor memeriksan jambakan bunga yang gagal dibawa masuk di KSAB. FOTO MAQIS Johor
PEGAWAI penguatkuasa Maqis Johor memeriksan jambakan bunga yang gagal dibawa masuk di KSAB. FOTO MAQIS Johor


CUBAAN membawa masuk keratan bunga tanpa permit import dan sijil fitosanitasi berjaya dihidu pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, lori yang membawa bahan itu ditahan kira-kira 6 petang dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa 116 jambak keratan bunga dengan berat keseluruhan sebanyak 67 kilogram bernilai RM44,500.

“Kami difahamkan dagangan yang berasal dari Perancis itu dibawa masuk untuk dijadikan pewangi.

“Namun begitu, setiap pengimportan keratan bunga harus mematuhi prosedur pengimportan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nur Afifah, semua dagangan berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 1:31 PM
Digital NSTP Subscribe