Nurul Amanina Suhaini


JOHOR mencatat kes kanser tertinggi di negara ini iaitu 25,460 kes berbanding sekali gus satu perkembangan membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berkata, statistik itu dikeluarkan oleh laporan Malaysia National Cancer Registry 2012-2016.

Katanya, jumlah itu dilihat sangat membimbangkan kerana Johor merekodkan kes tertinggi bagi beberapa jenis kanser seperti kolorektal, tekak dan paru-paru, leukemia, hati, prostat, ovari serta corpus uteri.

“Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan memegang tanggungjawab sosial dalam memainkan peranan meningkatkan kesedaran kanser khususnya dalam kalangan masyarakat.

“Masyarakat yang dalam kalangan ahli keluarga mereka menghidap kanser perlu mengambil peluang menjalani saringan awal kanser secara berkala menerusi PeKa B40 mahupun perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dalam program Kad Sihat Johor yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian program Strive for Cancer Fighters (S4CF) anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) bersempena dengan Hari Kanser Sedunia di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Noor’ Azmi Md Omar.

Aminolhuda berkata, kerajaan negeri menekankan usaha meningkatkan kesedaran mengenai epidemik kanser sukar mencapai matlamat, sekiranya masyarakat tidak mewujudkan persekitaran bebas kanser dan mengamalkan cara hidup sihat.

“Tambah pengetahuan menerusi bahan bacaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, selain perlu bijak membezakan antara fakta dan mitos di samping rujuklah pengamal perubatan onkologi sekiranya ada keraguan,” katanya.

Program itu adalah penganjuran kali kedua oleh YKTLJ bertujuan meraikan pejuang kanser di Johor, selain mengikut laporan yang diterima, YKTLJ sudah membelanjakan sejumlah RM7 juta sehingga Disember 2019 menerusi pelbagai inisiatif dan memanfaatkan lebih 1500 pejuang kanser di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 1:32 PM
Digital NSTP Subscribe