Nor Fazlina Abdul Rahim


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Peguam Negara dan semua mufti bagi mengkaji dasar sedia ada.

Perbincangan juga untuk mengkaji penggunaan satu dasar sahaja dalam proses pendaftaran anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh berkata, buat masa ini, terdapat dua pilihan bagi pendaftaran anak tidah sah taraf iaitu berbinkan Abdullah atau menggunakan nama Asmaul Husna.

Statistik pendaftaran kelahiran menunjukkan 25,567 anak tidak sah taraf yang didaftarkan dengan JPN sejak 2019 sehingga bulan lalu, termasuk bagi perkahwinan yang tidak mencukupi enam bulan.

Beliau berkata, hasil perbincangan dengan semua pihak berkenaan akan melihat apakah mekanisme yang lebih sesuai dalam proses pendaftaran anak tidak sah taraf supaya tidak berlaku pertembungan.

“Kita tahu kebanyakan negeri mempunyai peraturan dan enakmen masing-masing. Salah satu tindakan, kita juga akan menjalin hubungan dengan pejabat agama negeri bagi mencari penyelesaian antaranya dari segi dasar, selain melihat penambahbaikan atau peraturan baru dikeluarkan.

“Setakat ini, perbincangan sudah bermula di peringkat KDN terlebih dahulu dan kita akan keluarkan satu arahan baru dengan dasar sedia ada

dalam masa terdekat. Di peringkat JPN, kita sedang melihat kesesuaian dengan keputusan mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada lapan beranak di rumah keluarga itu di Kubang Kerian, hari ini.

Ruslin berkata, perbincangan penuh dengan pihak berkaitan akan dilakukan selepas JPN menerima alasan penghakiman susulan kes mahkamah, baru-baru ini.

“Lanjutan keputusan mahkamah baru-baru ini membabitkan kes di Johor yg memutuskan pihak JPN mengeluarkan bin Abdullah, kami akur dengan keputusan berkenaan.

“Dalam konteks ini secara teknikal nama anak akan jadi seketul sahaja. Setakat ini, kita belum membuat tindakan selagi tidak menerima alasan penghakiman, namun kes berkenaan hanya berlaku di Johor sahaja,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau di binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 1:52 PM
Digital NSTP Subscribe