X
DATUK Hasanah Abdul Hamid. FOTO Rosdan Wahid
DATUK Hasanah Abdul Hamid. FOTO Rosdan Wahid
BERNAMA

PEGUAM Negara menolak representasi yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid berhubung pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad semasa pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Muhamad Iskandar juga memaklumkan mahkamah bahawa Hasanah telah melantik pasukan peguam yang baharu bagi mewakilinya dalam kes itu.

“Saya baru sahaja mendapat maklumat pagi ini bahawa tertuduh telah melantik peguam baharu bagi mewakilinya,” katanya.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan melalui anak guamnya.

Pada 14 Januari lepas, peguam yang mewakili Hasanah menghantar representasi bertulis kepada Peguam Negara berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan 11 hari bermula 5, 6 dan 8 Oktober; 12 hingga 15 Oktober serta 19 hingga 22 Oktober ini untuk perbicaraan kes dan 23 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 dengan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:28 PM