HAZANI (tiga kanan) ketika melawat Pulau Jampiras. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
HAZANI (tiga kanan) ketika melawat Pulau Jampiras. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) yang menjadi tali barut kumpulan penjenayah rentas sempadan di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sudah dikenal pasti.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, jumlah Pati yang menjadi tali barut itu turut sudah dikenal pasti.

“Setakat ini belum ada tangkapan, tetapi kita giat melakukan pemantauan terhadap mereka,” katanya dalam sidang media sempena Program Pertemuan dan Dialog ESSCOM bersama Komuniti Nelayan Pulau Jampiras di Sandakan, hari ini.

Dalam pada itu, Hazani berkata pihaknya juga mendapat maklumat yang mendedahkan senjata api turut diseludup masuk ke pantai timur negeri ini.

Katanya, kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina akan terus di perkukuhkan untuk berkongsi maklumat risikan berhubung kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Kita tidak mahu Sabah dikaitkan sebagai transit pengganas asing yang bergerak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan ada Pati di ESSZONE menjadi tali barut penjenayah rentas sempadan.

Mereka tinggal dan hidup di Sabah sebagai Pati namun sebenarnya menjadi mata-mata sindiket penjenayah asing.

Mengenai lawatan ke pulau itu, Hazani berkata, ia bagi menepis tanggapan pihak yang mengatakan ia adalah kawasan hitam.

“Kita nak buktikan keadaan (aman), orang kata hitam kita nak masuk untuk bersama masyarakat menunjukkan yang masyarakat Jampiras adalah penyokong pasukan keselamatan, bersama-sama mahu mempertahankan keselamatan yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Hazani turut menggesa masyarakat di ESSZONE agar bekerjasama menyalurkan maklumat yang menyalahi undang-undang kepada pasukan keselamatan demi memastikan keamanan terus dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:03 PM