ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor . FOTO Aizuddin Saad
ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor . FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan mengenai rakaman audio didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang memaklumkan rakaman keterangan akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Insya-Allah (Najib dan Rosmah dipanggil beri keterangan) pada pagi esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Untuk rekod, polis sudah merakam keterangan 12 daripada 20 individu yang disebut dalam sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit seperti didedahkan SPRM.

Antara individu terbabit adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:08 PM