TONG karbaid yang meletup menyebabkan mangsa maut. FOTO ihsan polis
TONG karbaid yang meletup menyebabkan mangsa maut. FOTO ihsan polis
Nurul Fatihah Sulaini


PENTERNAK ikan maut selepas tong dram berisi karbaid meletup di kawasan sangkar ikan di Pengkalan Sungai Gong Batu, Setiu, semalam.

Dalam kejadian 10.50 pagi itu, mangsa mengisi bahan kimia terbabit ke dalam kira-kira 10 tong dram untuk digunakan sebagai pelampung membuat sangkar ikan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa, Mohd Pazli Nawi, 34, berasal dari Kampung Pengkalan Gelap disahkan meninggal di Hospital Setiu.

Katanya, abang mangsa menerima panggilan telefon pada 10.55 pagi daripada seorang rakan memaklumkan adiknya terjatuh di tempat kerja kerana tong sangkar ikan meletup dan dikejarkan ke Hospital Setiu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menjadi penternak ikan sejak 17 tahun lalu serta mempunyai 40 sangkar ikan,” katanya dihubungi hari ini.

Afandi berkata, saksi memaklumkan dia melihat mangsa mengisi karbaid ke dalam tong dram sebelum sebuah tong yang sedang ditutup tiba-tiba meletup.

“Letupan sangat kuat sehingga menyebabkan dinding kabin berdekatan kemek. Mangsa dilihat rebah di sisi tong namun masih sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, saksi melihat terdapat sedikit kesan darah pada dada mangsa dan terus dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Setiu pada 12.06 tengah hari.

“Kejadian berlaku di pengkalan nelayan dan sangkar ikan milik mangsa terletak kira-kira 300 meter dari pengkalan,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 7:16 PM