BERNAMA

LELAKI bergelar Datuk ditahan di rumahnya di Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berhubung penggubahan wang haram, selain kes menyamar sebagai pegawai bank.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA) Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Asisten Komisioner Amran Yaacob berkata, suspek ditahan reman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat ekoran satu laporan pada 9 Januari lalu, yang mana suspek dipercayai memperdaya seorang akauntan sebuah perbadanan, dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank serta menawarkan pelaburan dalam Skim Simpanan Tetap.

“Suspek mendakwa skim berkenaan memberikan kadar faedah yang efektif sebanyak enam peratus berkonsepkan syariah tanpa riba, ditolak zakat serta tiada fi pengurusan serta tidak dikenakan cukai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2015 hingga 2018, mangsa mendakwa menerima penyata akaun untuk pelaburan itu dan selepas diperiksa, didapati ia sebenarnya adalah pelaburan di Unit Amanah dan suspek memberikan penyata akaun yang palsu.

Amran berkata, ekoran penipuan dilakukan suspek, mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM40 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 10:38 PM
Digital NSTP Subscribe