GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


REMAJA perempuan sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dia diculik dua lelaki hanya kerana takut dimarahi dan dipukul bapa, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal terhadap remaja berusia 13 tahun itu mendapati dia sebenarnya menumpang kereta sepupunya dan takut dimarahi kerana keluar tanpa pengetahuan keluarga.

“Remaja itu menaiki kereta sepupunya untuk mengambil wang berjumlah RM100 bagi membantu keluarganya yang miskin.

“Dia kemudian membuat laporan polis kononnya diculik kerana takut dimarahi serta dipukul bapa kerana keluar bersama seseorang tanpa izin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Osman berkata, bagaimanapun kes itu masih lagi dalam siasatan.

Terdahulu, insiden penculikan remaja itu tular di laman sosial kononnya mangsa dihampiri dua lelaki sejurus tamat waktu persekolahan dan dipelawa menaiki sebuah kereta atas alasan ibu remaja itu cedera teruk akibat kemalangan.

Bagaimanapun remaja berkenaan bertindak melarikan diri ketika kereta itu berhenti di lampu isyarat selepas terdengar perbualan dua lelaki terbabit yang menimbulkan rasa curiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 10:53 PM
Digital NSTP Subscribe