KEADAAN mangsa dan kerbau yang dirempuh. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN mangsa dan kerbau yang dirempuh. FOTO IHSAN PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


PERJALANAN pulang seorang penghantar surat ke rumahnya berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kerbau di Kilometer 4 Jalan Kampung Gajah - Tanjung Tualang, Bota, malam tadi.

Dalam kejadian pada 8.20 malam itu, mangsa, Muhamad Nor Hasrul Azhar, 24, yang beralamat di Kampung Tersusun Sungai Galah, Tanjung Tualang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda Wave dari arah Kampung Gajah menghala ke Kampung Sungai Galah.

Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengelak kerbau yang berada di laluannya dan kemudian melanggar haiwan berkenaan.

“Ketika kejadian berlaku mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Galah dan apabila tiba di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa melanggar kerbau yang berada di laluannya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 9:18 AM