Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEKAS perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Bukit Aman di Kuala Lumpr bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Najib bersama isteri tiba di Bukit Aman pada 10.45 pagi menerusi pintu B.

Kira-kira 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu di Pintu A sejak 8.30 pagi tadi tidak mengetahui kehadiran kedua-dua individu berkenaan sebelum dimaklumkan pasukan polis bertugas.

Kedua-dua individu berkenaan diminta hadir ke Bukit Aman bagi mengambil keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan SPRM.

Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang sudah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:01 AM