ANGGOTA penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berat dalam Ops Roda di Stesen Penguatkuasa JPJ Panching, Kuantan. FOTO ihsan JPJ
ANGGOTA penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan berat dalam Ops Roda di Stesen Penguatkuasa JPJ Panching, Kuantan. FOTO ihsan JPJ


SEBANYAK 62 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan, khususnya pemandu kenderaan berat dalam `Ops Roda’ Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Kuantan, semalam.

Pemangku Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir berkata, berdasarkan statistik, JPJ mengeluarkan 31 saman dan lapan notis arah periksa atas pelbagai kesalahan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengeluarkan 31 saman atas kesalahan tidak mematuhi had laju, nombor pendaftaran dan tiada alat segi tiga amaran.

Katanya, operasi itu lebih kepada Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Barangan (KPB) yang menggunakan tayar celup yang tidak mematuhi standard piawaian.

“Operasi ini akan dijalankan secara berkala iaitu antara langkah untuk mengurangkan kes kemalangan di lebuh raya disebabkan oleh serpihan tayar yang tercabut.

“Ia juga berpunda daripada tayar celup yang tidak dijaga dengan baik dan sempurna atau tidak mengikut standard piawaian yang ditetapkan.

“Dengan mengadakan operasi ini, kita mengharapkan pemilik kenderaan kenderaan memastikan tayar yang digunakan berada dalam keadaan baik,” katanya di Kuantan, hari ini.

Dalam operasi empat jam bermula 4.30 petang di Stesen Penguatkuasa JPJ Panching, Kuantan JPJ Pahang turut mendapat kerjasama PDRM Bukit Aman Cawangan Trafik Zon Lebuh Raya 3, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ANIH Berhad.

Ops Roda itu membabitkan 30 pegawai dan anggota dari JPJ, PDRM Bukit Aman,JAS dan ANIH yang diketuai oleh Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Panching, Mohd Azhan Abas.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga JAS memeriksa 141 kenderaan dan menjalankan ujian meter terhadap 20 kenderaan.

“Bagaimanapun, tiada notis dikeluarkan kerana semua kenderaan tidak melepasi had pelepasan asap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:30 AM