ADLY Zahari meninjau projek penternakan itik telur oleh Abdul Razak Jantan (dua dari kanan) di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
ADLY Zahari meninjau projek penternakan itik telur oleh Abdul Razak Jantan (dua dari kanan) di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

KERAJAAN negeri Melaka melalui Amanah Finance House menawarkan mikro kredit kepada usahawan tani dan penternak yang baru menceburi bidang berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai belia memajukan industri itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pinjaman RM3,000 hingga RM20,000 disediakan berikutan kesukaran untuk bertapak pada awal usaha niaga, sekali gus menarik belia, terutama di luar bandar untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan tani dan haiwan ternakan.

“Kita sentiasa menggalakkan belia memajukan industri pertanian dan penternakan kerana selain bidang perniagaan menguntungkan, ia juga membantu menjamin bekalan makanan negara.

“Amanah Finance House sedia membantu belia untuk memajukan perniagaan masing-masing hingga mereka mencapai kejayaan,” katanya ketika melawat projek penanaman cili padi fertigasi di Kampung Permatang Indah, Kuala Sungai Baru, semalam.

Projek penanaman cili padi dalam 2,200 beg poly itu diusahakan Muhammad Iskandar Abdul Rahim, 23, dan Shahrul Izwan Abdul Wahab, 32, sejak dua tahun lalu di kawasan seluas 0.4 hektar.

Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman dan Penyelaras DUN Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Sebelum itu Adly meninjau projek penternakan 1,200 itik telur oleh Abdul Razak Jantan, 32, di Kampung Permatang Darat.

Adly berkata, kedua-dua projek berkenaan mempunyai potensi untuk berkembang asalkan mereka mampu menjaga kualiti dan bijak memasarkan produk masing-masing melalui pelbagai landasan, terutama pengiklanan melalui media sosial.

Beliau berkata, bagi usahawan tani dan penternak yang sudah bertapak dan ingin mengembangkan perniagaan, mereka harus memanfaatkan pelbagai skim pinjaman disediakan Agro Bank yang sentiasa bersedia membantu mereka.

Beliau berkata, selain itu, Jabatan Pertanian turut membantu mereka dengan menyediakan geran bantuan yang diberikan dalam bentuk peralatan, benih dan seumpamanya asalkan usahawan tani dan penternak komited untuk mencapai kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:33 AM
Digital NSTP Subscribe