Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai memberi keterangan kira-kira sejam di Bukit Aman berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Najib dan Rosmah diiringi peguam masing-masing, Mohamed Reza Rahim dan Rajivan Nanbiar dilihat keluar dari Bukit Aman pada jam 11.50 pagi.

Mohamed Reza berkata, kedua-dua individu berkenaan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan berhubung rakaman audio berkenaan.

“Pada jam 2.30 petang mereka akan memberi keterangan di Akademi SPRM Jalan Duta juga mengenai siasatan rakaman berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, pasangan berkenaan hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib bersama isteri tiba di Bukit Aman kira-kira jam 10.45 pagi menerusi pintu B.

Kira-kira 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu di Pintu A sejak jam 8.30 pagi tadi tidak mengetahui kehadiran kedua-dua individu berkenaan sebelum dimaklumkan pasukan polis bertugas.

Najib. FOTO Aswadi Alias
Najib. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua individu berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio berkenaan.

“Jika ada keperluan dan berdasarkan rakaman percakapan yang diambil hari ini, polis tidak menolak (kemungkinan) akan memanggil semula kedua–dua individu terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • SPRM pula panggil Najib, Rosmah petang ini
  • Audio SPRM: Najib, Rosmah beri keterangan
  • Najib, Rosmah beri keterangan esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 12:19 PM