BERNAMA

DASAR Automotif Nasional (NAP) 2020 yang dilancarkan hari ini akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teknologi kenderaan adalah tumpuan pembangunan yang kritikal bagi pengeluar kereta dunia pada hari ini bagi meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

Selain menyelaraskan dengan trend teknologi terkini, beliau berkata, NAP 2020 juga menyasar menambah baik dasar semasa di samping memperkenalkan langkah-langkah baharu yang akan menjadi dasar pembangunan perindustrian holistik, menyediakan kepada keperluan berbeza pelbagai pemegang kepentingan dalam rantaian nilai.

“Sehubungan itu, NAP 2020 menimbang semua kemungkinan elemen dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan tempatan dan global, aktiviti kejuruteraan, pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, peningkatan eksport serta insentif pelaburan,” katanya dalam ucap tama beliau pada pelancaran NAP 2020, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, industri automotif dan sektor berkaitan telah menggunakan khidmat lebih 600,000 tenaga kerja dan menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang mengeluarkan kenderaan penumpang dan perdagangan serta motorsikal dan skuter.

“Bagi segmen hiliran, terdapat kira-kira 53,000 syarikat selepas pasaran dan lebih 600 pengeluar bahagian-bahagian dan komponen automotif yang terdiri daripada panel kerangka, bahagian-bahagian trim, bahagian-bahagian powertrain, bahagian-bahagian getah dan bahagian-bahagian elektrik dan elektronik.

“Angka-angka ini tidak hanya mengagumkan, tetapi turut membuktikan bagaimana sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia juga mampu menjadi pemain mantap dalam industri seperti ini sejak tiga dekad lepas,” katanya.

DR Mahathir (empat kiri) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming (tiga kanan); Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali (tiga kiri) dan tetamu kehormat menunjukkan buku NAP 2020 pada majlis pelancaran. FOTO Aizuddin Saad
DR Mahathir (empat kiri) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming (tiga kanan); Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali (tiga kiri) dan tetamu kehormat menunjukkan buku NAP 2020 pada majlis pelancaran. FOTO Aizuddin Saad

Menurut Perdana Menteri, satu lagi ciri penting NAP 2020 adalah usaha berterusan ke arah pengeluaran mampan yang mana di peringkat global menyaksikan ekonomi kitaran sudah menjadi lumrah manakala kejayaan sesebuah industri turut diukur berdasarkan elemen seperti jejak karbon.

“Industri automotif telah menempuh fasa sama seperti revolusi industri. Enjin yang bermula daripada sumber arang batu kepada yang dijana bahan api manakala kenderaan generasi seterusnya kini dipacu oleh hibrid, elektrik dan sel bahan api hidrogen,” katanya.

Beliau berkata, usaha promosi dan penerapan teknologi hijau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) perlu disokong oleh ekosistem dan infrastruktur tepat bagi memastikannya kekal mampan dan menarik.

“Fasiliti bagi (pengurusan) bateri sel telah habis digunakan dan pengurusan serta rawatan sisa perlu diperhebatkan yang pada akhirnya dapat melengkapkan keseluruhan ekosistem, tidak hanya untuk industri automotif tetapi juga industri lain yang berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 12:21 PM