Ilah Hafiz Aziz


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Proses memberi keterangan kepada pasukan penyiasatan itu selesai dalam tempoh sejam sejurus kedua-dua mereka tiba di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di Kuala Lumpur, jam 3 petang.

Keterangan mereka diambil berhubung siasatan pendedahan audio yang didedahkan SPRM, baru-baru ini.

Peguam kepada Rosmah, N. Rajivan, berkata kedua-dua mereka hanya memberi keterangan berhubung kes itu dan SPRM tidak meminta sebarang dokumen.

“Najib dan Rosmah diambil keterangan secara berasingan di akademi SPRM dan tidak dimaklumkan sama ada akan dipanggil SPRM semula,” katanya ringkas.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba sekitar jam 10 pagi menerusi Pintu B Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung pendedahan klip audio berkenaan.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, Timbalannya, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.

Senarai yang turut membabitkan beberapa kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada pihak tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit tulen.

Berita berkaitan:

  • SPRM pula panggil Najib, Rosmah petang ini
  • Audio SPRM: Najib, Rosmah beri keterangan
  • Najib, Rosmah beri keterangan esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:03 PM