Anggota PPM memeriksa kapal tanker yang membawa diesel tanpa rekod pembelian bahan api berkenaan di Laut Pelabuhan, Labuan. FOTO Juwan Riduan
Anggota PPM memeriksa kapal tanker yang membawa diesel tanpa rekod pembelian bahan api berkenaan di Laut Pelabuhan, Labuan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan sebuah kapal tangki dan menyita 450,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2.4 juta, kelmarin.

Kapal itu ditahan kira-kira jam 5 petang oleh PPM Labuan ketika menjalankan tugas Ops Gelora Khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kedudukan Laut Pelabuhan di Labuan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikemudi seorang kepten lelaki berusia 43 tahun bersama enam kru berusia 26 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut kapal itu melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan rekod belian dan jualan diesel berkenaan.

“Kapal bersama 450,000 liter diesel disita membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 1:54 PM
Digital NSTP Subscribe