X
KESEMUA 12 motosikal curi yang berjaya ditemui semula. FOTO Erika George
KESEMUA 12 motosikal curi yang berjaya ditemui semula. FOTO Erika George
Erika George


POLIS Bintulu menumpaskan kumpulan penjenayah curi motosikal dikenali Geng Dino berjaya ditumpaskan susulan penangkapan empat suspek pada 14 dan 18 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, hasil maklumat serta risikan, kesemua suspek lelaki tempatan berusia 16 hingga 45 tahun itu ditahan di Bandar Bintulu dan Daerah Tatau.

Menurutnya, dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu diketuai Inspektor Nixon Malang sekitar jam 11 malam 14 Februari lalu, tiga suspek ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Abang Galau dan sebuah rumah pekerja di Batu 9, Jalan Bintulu-Miri.

“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek berjaya menemukan lima buah motosikal yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Dato Jalan Masjid,” katanya kepada pemberita hari ini.

Zulkipli berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati semua motosikal terbabit dilaporkan hilang sekitar Daerah Bintulu antara 16 November lalu hingga 10 Februari tahun ini.

Turut dirampas besi bentuk ‘T’ dan anak kunci dipercayai digunakan suspek menjalankan kegiatan curi motosikal.

Katanya lagi, soal siasat lanjut ke atas ketiga suspek membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di sebuah rumah kebun di Bukit Sangan Jalan Sangan Tatau pada jam 11.30 pagi Selasa lalu.

“Serbuan yang dijalankan ini turut berjaya menemukan enam unit motosikal yang dilaporkan hilang di Bintulu dan Daerah Tatau antara September dan November tahun lalu,” katanya.

Zulkipli berkata, dengan penangkapan semua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan 12 kes kecurian motosikal di Bintulu termasuk Daerah Tatau.

Kesemua suspek kini katanya dikenakan tahanan reman di lokap Balai Polis Bintulu bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 3:04 PM
Digital NSTP Subscribe