GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SEORANG penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam nahas dengan dua kenderaan lain di Batu 11, Jalan Labu, Kampung Lambar, Seremban, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, dalam nahas pada 6.18 petang itu, mangsa Muammar Gaddafi Jamalludin, 25, parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, nahas itu membabitkan motosikal Honda Wave ditunggang mangsa, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Terrano dan sebuah Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dari Seremban menuju ke Nilai bergesel dengan Nissan Terrano yang sedang berhenti untuk membelok ke kanan, menyebabkan mangsa terjatuh di lorong bertentangan.

“Pemandu Perodua Myvi yang berada di lorong bertentangan tidak sempat mengelak dan terus melanggar mangsa.

“Akibat nahas itu, mangsa parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 3:31 PM
Digital NSTP Subscribe