GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis hari ini, selepas dipercayai terbabit dalam dengan kes penipuan menawarkan pelaburan Forex membabitkan nilai kerugian RM1.69 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, suspek berusia lingkungan 30-an yang bekerja di sebuah bank tempatan itu ditahan di Seri Alam kira-kira jam 2 petang.

Katanya, sepanjang tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor menerima 21 laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 30 hingga 55 tahun yang terdiri daripada penjawat awam mengenai pelaburan Forex yang tidak wujud itu.

“Suspek mensasarkan penjawat awam sebagai mangsa disebabkan kemudahan penjawat awam memperoleh pinjaman kewangan.

“Kesemua laporan polis yang dibuat mangsa membabitkan tujuh laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, sembilan laporan di IPD Johor Bahru Selatan, empat laporan di IPD Kulai dan satu laporan di IPD Mersing.

“Sebanyak 21 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah RM1.69 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan semua kes penipuan menawarkan pelaburan Forex di negeri Johor.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Mahkamah Majistret Kulai dan Mahkamah Majistret Mersing bagi 21 pertuduhan secara berperingkat bermula esok, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu sama ada sesuatu pelaburan itu didaftar dan diberikan kebenaran untuk menerima sebarang bentuk wang deposit sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan.

“Selain itu, jangan mudah terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan oleh suspek seperti akan mendapat keuntungan berlipat ganda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 8:52 PM
Digital NSTP Subscribe