Gambar fail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


TANDA tanya mengenai tujuan mesyuarat tertutup dihadiri Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Petaling Jaya, pagi hari ini masih belum terjawab.

Mesyuarat berkenaan dikatakan bagi membincangkan mengenai pensejajaran semula kekuasaan negara dan rombakan kabinet.

Sehingga 4 petang, puluhan pengamal media masih menunggu di pekarangan tingkat tiga hotel itu yang menjadi lokasi mesyuarat diadakan.

Terdahulu, Mohamed Azmin tiba berkenaan pada 10.33 pagi yang disambut penyokongnya sebelum dilihat keluar pada 1 tengah hari.

Difahamkan, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin turut hadir bersama Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, bekas pemimpin UMNO yang keluar daripada parti Melayu itu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Difahamkan, mesyuarat yang bersurai pada 1 tengah hari itu akan bersambung semula pada 5 petang.

Khabar angin mengatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadiri mesyuarat sama pada malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 5:15 PM