Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam pertemuan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam pertemuan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Wartawan NSTP


PERALIHAN kuasa membabitkan kerajaan negeri Perak susulan krisis kepemimpinan yang berlaku pada 2009 akan dijadikan panduan pembentukan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan, menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Sumber dalaman UMNO berkata, ketika ini beberapa presiden parti sudah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi tujuan itu.

“Saya difahamkan Yang di-Pertuan Agong nasihat supaya rujuk kes terdahulu di Perak...itu yang saya dapat tahu.

“Buat masa sekarang, kita sudah ada 139 kerusi Parlimen dan ia sudah cukup untuk membentuk kerajaan," katanya ketika ditemui di Hotel Sheraton, di sini, sebentar tadi.

Pada 2009, Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO, seorang ADUN MCA dan tiga BEBAS.

Ia susulan kejayaan BN menarik empat ADUN daripada PKR dan DAP termasuk ADUN Bota yang kembali kepada UMNO dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu.

Ditanya mengenai perjumpaan pemimpin parti politik di sini, malam ini, katanya beliau percaya tak akan ada pengumuman besar, walaupun kerusi yang ada sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 9:16 PM