PENGKAYAK yang diselamatkan selepas terkandas di Pulau Intan Kechil, Langkawi, semalam. FOTO ihsan APMM
PENGKAYAK yang diselamatkan selepas terkandas di Pulau Intan Kechil, Langkawi, semalam. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


TUJUH pengkayak termasuk empat wanita terkandas lebih dua jam di Pulau Intan Kechil di Langkawi disebabkan laut bergelora dan angin kencang, petang semalam.

Bagaimanapun, mereka yang berusia antara 25 dan 35 tahun bernasib baik apabila diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/Perlis, Kapten Zulinda Ramly berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.10 petang.

Menurutnya, sebuah bot peronda APMM dikejarkan ke lokasi untuk memberikan bantuan sejurus menerima maklumat.

“Empat pengkayak wanita kemudian diselamatkan dan dibawa dengan bot peronda ke Jeti APMM di Bukit Malut pada 6.20 petang semalam.

“Baki tiga lagi pengkayak lelaki bersama enam kayak yang terkandas turut diselamatkan dan tiba di Pulau Langkawi pada 6.55 petang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Zulinda berkata, usaha membawa pengkayak lelaki dan kayak itu dibantu bot persendirian sambil dipantau bot peronda APMM.

Menurutnya, APMM memandang serius terhadap sebarang kecemasan dan sentiasa mengambil langkah terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian MERS 999 dan Pusat Operasi APMM Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-9665307.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 10:10 PM